Saturday, November 19, 2011

My Experience : Al-Fatihah buat Tok Yam

(gambar hiasan)

Malam itu, telefon menjerit nyaring minta diangkat. Di hujung talian, terdengar suara ibu bernada sendu mengkhabarkan “Abang, tok dah takda..tadi baru meninggal di hospital”… Aku terduduk dan tergamam. Tok Yam dah takda..! Innalillahi Wainna Ilaihi Rojiuun.. Monitor yang berwarna-warni di hadapan terasa kosong, sekosong hati ini. Kenangan bersama Tok Yam terlayar satu persatu di diingatanku. Setitis dua,mengalir jua mutiara jernih dari tubir mata ini. 

Tok Yam adalah ibu kepada abah aku. Walaupun kenangan bersama Tok Yam hanyalah kenangan-kenangan lama yang berkisar sewaktu kehidupanku semasa bersekolah rendah di Langkawi, dan ketika aku bersekolah menengah di Alor Star seterusnya menyambung pelajaran di Perlis, aku sudah jarang untuk menjenguk Tok Yam kerana jarak dan masa yang membatasi. Itulah yang aku gambarkan dalam puisi yang bertajuk “Kutatap Wajah Rindumu” yang aku nukilkan beberapa minggu lepas, setelah aku menziarahi Tok Yam pada Aidilfitri yang lalu. Dan, itulah pertemuan terakhir aku dengannya sebelum dia dijemput pergi oleh Sang Pencipta.
            Masih kuingat lagi, ketika aku masih kecil, dan kami sekeluarga tinggal di rumah Tok Yam dan tokwan, setiap hari aku akan dibawa ke kedai runcit oleh Tok Yam untuk membeli jajan atau mainan. Dan turut dibawa bersama ialah sepupuku yang sebaya denganku. Maklumlah, hanya  kami berdua sahaja cucu Tok Yam dan tokwan ketika tu. Kalau Tok Yam ke pekan Kuah dengan tokwan untuk “bershopping”, dia tak pernah lupa membelikan baju atau pakaian bertemakan superhero untuk aku dan sepupuku itu. Pernah dibelinya baju Mask Rider yang matanya dibuat dari LED yang boleh bernyala warna merah, dan bateri diletakkan di poket khas dalam baju tersebut, membuatkan aku jadi takut untuk memakainya..! Tok Yam juga akan berhabis-habisan membelaku jika abah atau mak memarahiku kerana nakal atau buas. Hahaa..indah sungguh kenangan zaman kanak-kanak. Waktu menginjak pergi dan aku semakin dewasa. Aku sudah jarang-jarang dapat bersama Tok Yam, apatah lagi ketika bersekolah di seberang laut. Sesekali bila balik kampung, aku tidak lupa menziarahinya. Dan setiap kali itu jugalah, aku dilayan seperti VVIP. Dimasaknya hidangan istimewa dan disediakan bilik tidur yang dihiasnya sendiri, dan Tok Yam pasti akan memaksa aku untuk tidur semalam dua di rumahnya. Kini, rumah kayu agam lima bilik itu seakan hilang serinya. Dulu, pelancong yang lalu lalang pasti akan singgah untuk bergambar di hadapan rumah itu, malah, ada yang minta untuk masuk melihat ke dalam rumah. Mana tidaknya, seni ukiran kayu pada segenap inci rumah itu ditambah pula dengan hiasannya yang ceria, membuatkannya punya tarikan yang tersendiri. Kini, tinggallah tokwan keseorangan menguruskan rumah yang diselubungi suram itu. Tok Yam juga punya hobi yang tersendiri, iaitu obsess terhadap lanskap, terutamanya pokok-pokok bunga. Laman rumah yang luas itu dipenuhi oleh susunan pokok-pokok bunga yang boleh membangkitkan keceriaan. Aku masih ingat, ketika baru memperoleh lesen kereta, aku terlanggar pasu bunganya sehingga pecah sewaktu mengundur kereta. Menyedari yang Tok Yam tidak nampak apa yang telah berlaku, aku memecut laju kereta dan pulang ke rumah. Esok paginya, belum sempat aku membuka mata, sudah kedengaran “meriahnya” rumahku dengan suara Tok Yam yang tidak berpuas hati dengan pasunya yang pecah itu. Argghh..! Aku sudah terkantoi..! Nampak ja muka aku, terus diajaknya ke kedai pasu untuk membeli pasu bunga yang baru. Boleh, tapi tok kena belanja makan KFC. Tok jugak yang kenaa…
             Bunyi telefon menandakan isyarat SMS baru diterima. Ibu memberitahu bahawa jenazah Tok Yam akan dikebumikan awal pagi esok, dan mustahil untuk aku menatap jasad kaku Tok Yam buat kali terakhir kerana aku berada di seberang laut. Apa yang dapat kulakukan hanyalah menyedekahkan bacaan Yasin dan Fatihah buat arwah. Maafkan aku tok, yang tak disampingmu di saat kau menghadapi hari-hari derita. Maafkan aku tok, yang tak bersama menurunkan jenazahmu ke liang lahad. Maafkan aku tok, yang tak sama-sama mengaminkan bacaan talkin saat jenazahmu dikebumikan. Hanya sekuntum doa juga fatihah, akan terus kukirimkan buatmu di sana. Masih terkenang hangatnya tanganmu saat kukucup sewaktu aidilfitri lalu. Walaupun sedang bertarung dengan derita saat itu, engkau masih sempat menitipkan nasihat yang berguna, “belajaq rajin2” dan gurauannya yang terakhir kepadaku, untuk membawa calon isteri dan diperkenalkan kepadanya. Oh, entah gurauan atau permintaan yang tak kesampaian, kini semuanya hanya tinggal kenangan. Al-Fatihah untuk Allahyarhamah Mariam Bt Wan (Tok Yam) yang telah kembali ke rahmatulah baru-baru ini. 




No comments:

Post a Comment