Tuesday, August 13, 2019

Review Novel Anding Ayangan (Karya RAM)

BACAAN KALI KEDUA 


BELI : 2017
MULA : 9.08.19
TAMAT : 12.08.19


Anding Ayangan diberi judul. Merupakan Novel Ramlee Awang Murshid yang ke 27. Novel ini Setebal 502 ms dan dicetak kali pertama pada tahun 2017. TM telah membeli novel ini secara pratempah online dari website KarangKraf Mall yang biasanya memberikan diskaun yang agak tinggi apabila membeli secara pratempah.

Mengisahkan tentang konflik dan peperangan antara dua kerajaan, iaitu Kerajaan Anding dan Kerajaan Ayangan. Babak babak peperangan dan perlawanan digambarkan begitu baik sekali menyebabkan pembaca mudah hanyut dengan plot plot dalam novel ini.

Memerlukan tumpuan dan ingatan pembaca yang baik kerana RAM telah mengaplikasikan konsep dua cerita pada masa berbeza dalam novel ini, ataupun konsep cerita dalam cerita. 

Cerita di alam nyata ditunjangi oleh watak Nyian, iaitu seorang nelayan di Papar, Sabah, kawannya Damit dan Buntak. Manakala cerita di alam dongeng yang kononnya berlaku bertahun lampau ditunjangi oleh watak Raja Tabakbauta’, Jabing, Betatar, Setabak, dan  Yungku Kelangar yang mewakili watak antagonis Kerajaan Ayangan manakala Kerajaan Anding pula diwakili oleh watak protagonis yang terdiri daripada Penghulu Sunni, Chahaya, Saruji, dan Alieusin.

Watak-watak lain yang tidak kurang penting ialah Raja Suir iaitu makhluk aneh digambarkan seperti raksasa dalam cerita Ultraman yang menguasai Laut Selatan berdekatan Anding. Pembaca juga diperkenalkan dengan watak protagonis Pangeran Haji Durrahman dan Pangeran Haji Bolhassan di awal pembacaan. 



Antara kejutan menarik yang disajikan dalam Novel Anding Ayangan ini ialah pembelotan sang munafik Saruji dan Alieusin ke atas Penghulu Sunni lantas memusnahkan kerajaan Ganding yang diasaskan oleh Pangeran dua bersaudara. 

Kejutan lain ialah situasi sebenar yang berlaku di kubah suci kerajaan Ayangan di mana wujudnya makhluk hitam ngeri yang menyarungi jasad manusia iaitu Raja Tabakbauta’ dan jasad Jabing. Makhluk hitam bernama Sang Ekong ini adalah kembar kepada Raja Suir. Apa yang berlaku kepada Sang Ekong setelah melarikan diri dari Furqan Ayyubi kekal menjadi tanda tanya hingga ke akhir cerita. 

Di penghujung cerita, muncul watak Datuk Johar, seorang ahli politik jahat yang berselindung di sebalik kegiatan politik dan nama baik. Pembunuhan Datuk Johar ke atas setiausaha dan pembantunya merupakan elemen kejutan yang tidak disangka sangka.

Pada akhir cerita, telah berlaku kemalangan menyebabkan Nyian dan Damit telah termasuk ke dunia dongeng manakala Furqan Ayyubi pula menjelma di alam nyata. Pembaca dibiarkan tertanya tanya apakah kaitan Datuk Johar dengan Furqan Ayyubi ketika dua watak itu dipertemukan.

Seperti novel novel RAM yang sebelum ini, pertukaran dua cerita dari semasa ke semasa dilakukan dengan kemas dan tersusun cantik. Untuk first timer, mungkin akan terasa sedikit keliru, namun bagi yang sudah biasa tentu saja memahami bahawa ini memang gaya naratif RAM. 

TM : Jika anda seorang yang serius, yang selalu memikirkan tentang logik akal dan seumpamanya, novel sebegini tidak sesuai untuk anda.