Di sini aku nak paparkan sebuah kisah benar yang begitu meruntun perasaan. Aku peroleh kisah ni hasil perkongsian rakan-rakan di FB. Serius, aku sendiri menitiskan airmata saat menghayati kisah ini, diiringi lagu "Andaiku Tahu"... Kepada yang masih dikurniakan nikmat kesihatan, perbanyakkanlah bersyukur dan yang masih punya ibu bapa, lihatlah, betapa tingginya nilai kasih sayang ibu bapa terhadap seorang anak. Jom muhasabah..! [Al-Fatihah buat Allahyarham adik Iqbal Fahreen @ abang dalam kisah ni]
Mak pandang jenazah abang yang terbaring kaku. Walaupun muka
sembap, perut membusung, namun mak nampak ketenangan pada wajah abang.
Mak ambil pisau. Mak potong baju-T yang tersarung pada tubuh
abang, baju terkahir yang abang pakai, Mak terpaksa potong kerana kerana baju
itu tidak muat untuk melalui perut abang yang 'buncit'.
Tapi, mak akan simpan baju itu. Mak tak cuci, sesekali boleh
mak cium baju itu, sekadar pengubat rindu di hati. Kemudian abah kendong tubuh
abang ke pangkin yang telah disediakan. Lalu abah dan mak mendikan jenazah
abang. Hanya kami berdua. Mak tak mahu orang lain. Biar tangan abah dan mak
yang menjiruskanair buat kali terakhir pada tubuh kecil abang.
Mak nampak anak mata abah, berkaca-kaca, setitis dua air
matanya tumpah, mengalir di pipi, tapi cepat-cepat abah sapu dengan lengan
sasanya.
"Bang, jangan menangis. Kita selesaikan hingga ke titisan
terkahir," begitulah kata mak pada abah.
Setelah abang dimandikan, mak bantu abah kapankan jenazah
abang. Pun hanya kami berdua juga. biar tangan kami saja yang memakai dan
membalutkan kain terakhir pada tubuh abang.
"Kakak, jangan menangis. tak baik buat abang macam
tu!"
Itu pesan mak semasa kakak-kakak mahu mengucup dahi abang buat
kali terakhir. Abah pula selepas mengucup dahi abang, cepat-cepat abah menjauh
memalingkan muka.
Mak nampak air mata abah berjuntaian membasahi pipi. Dan buat
kali terakhir itu juga, mak usap dahi abang. Mak senyum, lantas kucup dahi
abang.
Mak bisikkan: "Abang tunggu mak di syurga ya!"
Akhirnya, wajah abang 'ditutup'. Kami sembahyangkan abang buat
kali terakhir. Ramai betul jemaah yang turut serta. Setelah itu, kami bawa
abang ke tanah perkuburan.
Abah masuk ke dalam liang lahad untuk menyambut jenazah abang.
Alhamdulillah, semua kerja dipermudahkan. Abang sudah selamat di sana.
Bertubi-tubi mak terima ucapan takziah daripada tetamu yang
datang. Abang nak tahu, ada satu soalan yang mereka tanyakan pada mak.
Soalan itu asyik terngiang-ngiang di telinga mak. Tanya
mereka: "Kakak uruskan jenazah anak kandung sendiri, tapi setitis air mata
tak jatuh ke pipi? Kenapa kakak tidak menangis?" Itulah soalan mereka.
Mereka hairan kenapa mak tidak menangis, sebaliknya bibir mak
tidak lekang dengan senyuman. Kenapa mak masih mampu tersenyum di saat memangku
sekujur tubuh yang pernah berada dalam rahim mak dulu? Empat tahun dua bulan
mak membesarkan Abang. Mak selak helaian demi helaian paparan kertas dalam
diari yang sedikit usang itu. Aduh! Banyak sungguh memori yang tercatat di
dalamnya. Membacanya bagaikan meruntun jiwa mak kembali mengenangkan perjalanan
derita Abang sejak lahir hingga menghembuskan nafas terakhir. Mata mak terpaku
pada catatan peristiwa lebih kurang tiga bulan sebelum Abang pergi. Mak rasa,
di sinilah terkandung jawapan yang mak cari-cari. Jawapan untuk soalan yang
mereka tanya kenapa mak tidak menangis?
Mak akan bacakan sedikit rentetan diari ini supaya mereka tahu
kenapa mak tidak menangis, sayang.
Januari 2011- Perut Abang semakin membusung kerana hati
membengkak. kata doktor, semua organ dalaman Abang sudah rosak, sudah 'reput'.
Tidak boleh diselamatkan lagi. Tidak mengapa. Hati mak berkata, cukuplah! Tidak
akan ada lagi pembedahan untuk Abang.
26 Februari 2011- Hari ini ulang tahun ke-4 abang. Dua hari
sebelum itu, mak tanya, abang nak kek apa? Abang jawab, nak kek lori sampah!
Hah Hah.. Tergelak mak. Abang suka sangat melihat lori sampah yang lalu setiap
pagi depan rumah. Sebab itu abang nak kek bentuk lori sampah, Puas mak dan abah
melilau sekitar Kuala Lumpur , tetapi tak jumpa kek macam tu. Tak ada yang
sanggup buat kek macam yang Abang minta. Mak kecewa! Selama ini, mak tunaikan
apa saja permintaan Abang, tapi kali ini mak gagal. Mak belikan kek coklat
strawberi sebagai pengganti. Dengan perut membusung, dada berombak kerana sukar
bernafas, Abang masih tersenyum dan nampak ceria melayan rakan-rakan yang
datang, sama-sama menyanyikan lagu hari jadi abang. Dan ketika itu, hati mak
sudah terdetik, mungkin ini hari jadi abang yang terakhir.
7 Mac 2011- Keadaan abang semakin kritikal. Perut abang
semakin membesar. Abang tidak mampu untuk bergerak dan lebih banyak terbaring
serta asyik sesak nafas. Mak semakin tidak tahan melihatkan keadaan Abang
sebegini rupa. Mak bawa Abang ke IJN, rumah 'kedua' abang sepanjang tempoh
hayat Abang. Kata doktor, tiada apa yang boleh dilakukan lagi. Abang hanya
menanti waktu. mak angguk perlahan-lahan. Mak redha dengan ketentuan ilahi.
Dalam hati mak juga terdetik, masa Abang sudah tidak lama lagi. Para ibu di wad
tersebut asyik bertanya pada mak, macam mana dengan keadaan Abang? Mak cuma
mampu untuk jawab, "InsyaAllah, Abang akan sihat!" Mak terpaksa cakap
begitu pada mereka, sebab mak tidak mahu mereka semua lemah semangat jika
mereka tahu Abang sudah tiada harapan lagi. Mereka pun sedang bertarung dengan
ujian Allah apabila anak-anak yang dikasihi ditimpa penyakit. jadi biarlah
jawapan yang mak beri itu kedengaran manis pada telinga mereka. Pahitnya,
biarlah mak sendiri yang telan.
13 Mac 2011- Hari ini merupakan hari Ahad. Mak pinta kebenaran
doktor untuk bawa Abang pulang kerumah . Doktor izinkan. Biarlah Abang habiskan
waktu-waktu terakhir bersama keluarga. Dan disaat-saat akhir ini, mak mahu
tunaikan apa saja permintaan Abang. Di rumah, setiap hari mak akan tanya,
"Abang nak apa harini?"
Mak masih ingat pada suatu pagi, abang menjawab, "Mak,
Abang nak naik kereta bomba!"
Mak termenung dengar permintaan Abang. Bila abah pulang ke
rumah, terus mak ajak abah keluar. Abah tanya pergi mana?
Mak jawab, "Balai bomba!"
Sampai di situ, mak meminta izin daripada pegawai bomba. Mak
kata padanya, Abang teringin sangat nak merasa naik ke dalam trak bomba.
Pegawai itu cuma garu-garu kepala, kemudiannya menggeleng-gelengkan kepala.
Belum sempat pegawai bomba itu menjawab, lantas mak tarik baju Abang ke paras
dada.
Separuh berbisik, mak beritahu pegawai itu, "Encik, ini
anak bongsu saya dan hanya menanti masa untuk 'pergi'! Benarkan saya tunaikan
impian terakhirnya ini!" Bila lihat perut Abang yang buncit dan dada
dipenuhi kesan parut dan jahitan, pegawai itu tidak tunggu lama. Terus
dicapainya kunci, dibuka pintu salah satu trak bomba itu. Lantas dia terus
dukung Abang dan letakkan Abang ke atas tempat duduk bahagian pemandu. Abang
nampak gembira sangat biarpun cuma 15 minit abang di dalam trak itu. Tetapi
Abang tidak perasan, ketika itu mak palingkan muka selama lima saat. Sekadar
mahu mengelap titisan air mata yang mula bertakung.
Hari lain, mak tanya lagi pada abang, "Abang nak
apa?"
Abang pun jawab: "Abang nak naik lori sampah!" Mak
dukung Abang, tunggu depan rumah. Bila lori sampah lalu pagi itu menjalankan
rutinnya mengutip sampah, Mak tahan lori itu.
"Encik, anak saya teringin naik lori ni. Boleh izinkan
sebentar?" Pekerja itu tertawa mendengar kata-kata mak. Kemudian, mak
angkat baju Abang dan beritahu perkara sama. Terus berubah mimik wajah mereka.
Segera mereka angkat Abang, letakkan di tempat duduk pemandu. Ada antara
pekerja itu yang memalingkan muka, tak sangup untuk melihat Abang lama-lama.
Sedih agaknya. Begitulah seterusnya. Setiap hari, mak akan tanya pertanyaan
yang sama. Kalau Abang nak tengok gajah, mak akan bawa Abang pergi zoo.
Walaupun abang tak larat jalan, tak apa.
Mak dan abah tidak kisah, kami silih berganti dukung Abang.
Abang pinta nak tengok burung, mak bawa Abang ke taman burung. Abang nak main
permainan robot, mak bawa ke kompleks beli-belah yang ada permainan seperti
itu. Ke mana saja Abang nak pergi dan apa sahaja yang Abang inginkan, semuanya
mak tunaikan! Setiap hari juga mak tanya Abang nak makan apa. Macam-macam Abang
teringin nak makan. Murtabak, nasi paprik, milo ais, cendol, air tebu, air
bandung , rojak dan macam-macam lagi, semuanya mak tunaikan walaupun makanan
itu Abang pinta pada pukul 3.00 pagi.
Mak tahu dan faham, masa Abang bersama mak dan abah semakin
suntuk!
27 Mac 2011- Abang semakin kritikal! Abang sudah tidak mampu
untuk berkata-kata, apatah lagi untuk bergerak seperti biasa. Mata Abang kuyu
dan Abang hanya mampu terbaring sambil memeluk Aina, anak patung kesayangan
Abang. Mak segera pinta abah bawa Abang ke hospital.
"Kali ini kita bawa abang ke IJN, tapi kita mungkin akan
keluar dengan tubuh abang yang sudah tidak bernafas!" Itulah kata-kata mak
pada abah sebelum bertolak ke IJN. Mak mahu abah bersedia dan redha jika
apa-apa berlaku. Sampai di IJN, abang terus ditempatkan di wad khas untuk
pesakit kritikal.
5 April 2011- Mak telefon sekolah asrama Kakak sulung di
Seremban. Mak minta pelepasan daripada cikgu untuk benarkan Kakak pulang.
"Adik tenat. Saya mahu kakak-kakaknya berada di
sampingnya pada saat terakhir!" Mak pinta pada cikgu dan Kakak diizinkan
pulang. Kemudian, Dr. Adura, doktor yang sinonim merawat abang juga datang
melawat. Ketika itu mak ceritakan yang mak terkilan sangat tidak dapat tunaikan
permintaan Abang yang mahukan kek berbentuk lori sampah.
7 April 2011- Pagi ini Dr. Adura datang melawat Abang lagi.
Kemudian Dr. Adura beritahu ada surprise untuk Abang tengah hari ini.
Rupa-rupanya, tengah hari itu tetamu yang juga rakan-rakan alam maya Dr. Adura
datang membawa kek lori sampah yang Abang mahukan sebelum ini. Ada dua kek
mereka bawa. Mak tak sangka, Dr Adura rajin menulis mengenai kisah abang
didalam blognya dan ramai yang menawarkan diri untuk menyediakan kek yang abang
pinta. Para tetamu bersama jururawat dan doktor menyanyikan lagu selamat ulang
tahun untuk Abang. Tetapi abang kurang ceria, wajah Abang tampak letih dan
nafas abang turun naik.
8 April 2011- Tengah hari ini, masih ada lagi tetamu datang
membawa kek berbentuk lori warna pink untuk abang. Tetapi abang sangat lemah.
Abang sekadar terbaring merenung kek itu. Malam itu, semasa jururawat mengambil
tekanan darah Abang, bacaanya meningkat naik. Tetapi hati mak dapat merasakan
yang Abang sekadar mahu meredakan keresahan hati mak. Malam itu, hanya mak
berdua dengan Abang berada di dalam bilik. Mak pandang sayu wajah abang yang
semakin lesu dan pucat. Mak duduk di sebelah Abang, mak peluk dan usap rambut
Abang. Mak menangis teresak-esak bagai anak kecil.
Dalam tangis itu, mak katakan pada Abang, "Mak tahu Abang
nak senangkan hati mak. Abang tak perlu buat macam tu. Mak tahu Abang nak
pergi. Jangan tahan-tahan Abang. Pergilah menghadap Ilahi. Mak sudah sedia. Mak
redha segalanya. Mak puas dapat sempurnakan apa sahaja hajat yang Abang pinta.
Mak juga bangga kerana Allah hadirkan Abang dalam hidup mak walaupun
seketika."
Abang hanya diam, memandang mak dengan pandangan lesu. Dan
ketika itu mak menangis sepuas-puasnya. Mak juga berjanji bahwa mak tidak akan
menangis lagi selepas itu! Ya, mak tidak akan menangis lagi biarpun abang sudah
tiada lagi di dunia.
9 April 2011- Pagi itu mak pesan pada abah agar bawa semua
anak-anak datang ke hospital. Masa Abang dah dekat sangat. Mak lihat Abang
sudah kritikal. Wajah Abang sudah tampak biru, lebam! Dada Abang berombak,
tercungap-cungap menarik nafas.
Abang sudah tidak mahu makan dan minum lagi sejak malam tadi.
Pukul 8.00 pagi, abah dan kakak-kakak sampai. Mak suruh Kak Long bacakan Yaasin
di sebelah Abang. Mak suruh abah baca juga, tapi bacaan abah tersekat-sekat
kerana cuba menahan tangisnya.
Pukul 3.00 petang, Abang semakin lesu. Lantas mak ajak Abang
keluar berjalan-jalan.
"Abang, abang nak tengok matahari tak? Jom kita turun
kantin minum sambil tengok matahari!"
Abang hanya mengangguk lemah. Mak dukung Abang dan kita satu
keluarga turun ke kantin. Abang mahu minum air coklat. Tapi Abang hanya minum
seteguk. Kemudian, Abang lentukkan kepala pada bahu mak.
"Abang, tu tengok kat luar tu? nampak tak sinar matahari
tu? Cantikkan?" Mak tunjuk pada abang sinar matahari yang kelihatan di
celah-celah rintik hujan yang turun waktu itu. Abang angkat kepala melihat ke
arah matahari itu. kemudian, abang menguap.
"Abang ngantuk!" Itu kata Abang dan kemudian abang
terlentuk semula pada bahu mak. Tiba-tiba jantung mak berdegup kencang.
"Bang, jom naik. Abang nak 'tidur'! Mak terus ajak abah dan kakak-kakak
naik semula ke wad walaupun mereka belum sempat jamah makanan di atas meja.
Sampai sahaja di wad, mak terus baringkan Abang di atas katil.
Dan Abang terus merintih dalam nada yang lemah,
"Makkk..sakit perut..!"
Suara Abang amat perlahan dan amat sayu bunyinya. Lantas mak
letak tapak tangan mak atas dahi Abang.
"Abang, hari ini, waktu ini, mak redhakan Abang pergi.
Mak halalkan segala makan minum Abang. Mak halalkan air susu mak untuk Abang.
Pergilah Abang. Mak izinkan Abang pergi!" Mak ucapkan kata-kata itu sambil
merenung jauh ke dalam mata Abang yang semakin kuyu. Saat Abang sedang nazak
itu, mak panggil kakak-kakak agar mengucup Abang selagi Abang masih bernafas.
Mereka kucup pipi Abang bertalu-talu dan mula meraung dan menangis.
"Kakak! kalau kamu semua nak menangis, keluar dari bilik
ini. Mak tak mahu Abang dengar kamu menangis! Jangan seksa Abang dengan
tangisan kamu semua!" Mak marah mereka. Mak tidak mahu Abang lihat kami
menangisi pemergian Abang. Mak tahu, Abang akan jadi lebih sedih dan berat hati
untuk pergi bila melihat kami menangis di saat akhir sakaratulmaut menjemput
Abang. Mak tidak mahu tambahkan lagi kesedihan Abang untuk meninggalkan kami.
Abah pula hanya berdiri di penjuru bilik, meraup wajah menahan suara
tangisannya. Jururawat yang ada dalam bilik juga menangis, mak suruh jururawat
keluar dan tutup tirai bilik itu. Mak tak mahu orang luar lihat. Mak tak mahu
ada orang menangis di saat Abang akan pergi. Setitis dua mengalir juga air mata
mak. Tapi mak masih mampu tersenyum.
"Pergilah Abang. Mak izinkan. Mak izinkan..
pergilah.."
Dan perlahan-lahan mata abang yang layu tertutup rapat,
genggaman tangan Abang pada jari mak semakin lemah dan akhirnya terlepas...
Pukul 3.50 petang, akhirnya Abang meninggalkan dunia fana ini.
Innalillahiwainnailahirajiun.
Mak kucup dahi Abang. Mak bisikkan di telinga Abang,
"Tenanglah Abang di sana . Suatu hari nanti, mak juga pasti akan turuti
jejak Abang. Abang... tunggu mak di sana ya! Di syurga!"
Abang, sekarang mak sudah dapat jawapanya. Mengapa mak tidak
menangis? Pertama, Abang telah di takdirkan menjadi ahli syurga yang akan
membantu mak di sana nanti. Kedua, apa saja keinginan Abang semasa hayat abang
telah mak tunaikan. Tiada lagi rasa terkilan di hati mak. Ketiga, segala hutang
sebagai seorang ibu telah mak langsaikan semasa hayat Abang. Mak telah sunatkan
dan buat akikah untuk Abang. Keempat, mak telah menjalankan tanggungjawab
sepenuhnya, sentiasa berada di sisi Abang dan menggembirakan Abang setiap saat
dan waktu. Kelima, mak rasa istimewa dipilih Allah untuk mendapat anak seperti
Abang. Mak jadi 'kaya' dengan kehadiran Abang. Kaya kesabaran, kaya tawadhuk,
kaya keredhaan , kaya keimanan, kaya kawan, kaya ilmu, dan kaya pengetahuan.
Mak telah beri segalan-galanya melebihi seratus peratus untuk Abang. Mak telah
beri yang terbaik dan mak telah berusaha hingga ke garisan penamat. Sebab itu
mak tidak perlu menangis lagi.
Abang.. biarpun kini hidup mak dan abah terasa sunyi dan
kosong tanpa Abang tapi... mak akan sentiasa tersenyum mengenangkan saat-saat
terindah kehadiran Abang dalam hidup kami biarpun cuma sebentar. Abang dalam
kisah ini adalah adik Iqbal Fahreen Hamdan, anak bongsu daripada lima beradik.
Abang masuk hospital seawal usia dua minggu akibat menghidapi lima jenis
kompilasi jantung termasuklah kekurangan injap, jantung berlubang dan saluran
sempit. Abang telah menjalani pelbagai siri pembedahan seawal usia dua bulan
dan ada antara pembedahannya yang gagal, malah abang pernah disahkan 'mati'
apabila jantungnya berhenti berdenyut. Walaupun pada awalnya doktor
mengjangkakan hayat abang tidak lama selepas lahir ke dunia, namun ternyata
anak kecil ini mampu bertahan sehingga usia empat tahun untuk meninggalkan
kenangan terindah dalam hidup Jamilah (ibu) dan Hamdan (bapa).
No comments:
Post a Comment