Saturday, July 10, 2021

Unifi Dah Sampai

Alhamdulillah.. Setelah sekian lama sebuah penantian, akhirnya… talian internet fiber berkelajuan tinggi yang diidam-idamkan sejak berkhidmat di Sabah 2015 yang lalu, dapat juga dinikmati di kampung sendiri, di Langkawi ni, walaupun terpaksa sabar menanti selama 3 tahun. Ok lah, ada orang yang menanti selama lebih 5 tahun.

Sejak bertukar dari Sabah balik ke Langkawi pada 2018 , aku selalu berangan alangkah bagusnya jika ada wifi yang laju macam di kafe siber berdekatan Taman Luagan, Keningau, Sabah, tempat aku menyewa dulu. Aku selalu berulang ke kafe siber tu jika ada masa lapang, untuk download game ps4 yang bersaiz besar berpuluh puluh gigabyte yang aku beli masa sale di PS Store. 


Walaupun internetnya tidaklah selaju 100mbps pun aku rasa kerana kafe siber kan, tentulah dikongsi beramai ramai dengan user yang lain, tapi bagiku, itu pun sudah cukup laju sampaikan aku boring tak tau nak buat apa sementara tunggu game bersaiz gedabak siap dimuat turun.


Buat demand list 


Dalam fikiranku time tu, sini Langkawi, Semenanjung. Mesti ada unifi di mana-mana. Konfem…! Lalu aku pun ke TMPoint kat Pandak Mayah, Kuah tu dengan bersemangat, tujuannya hanyalah untuk pasang unifi di rumah aku. Tiang bekas streamyx dulu dah ada. Rumah pun dekat ja dengan jalan besar. Takda masalah rasanya untuk pasang unifi. (Masa ni tak tau lagi unifi ni rupanya dia ada tiang dia yang tersendiri, yang memang special untuk unifi ja..) Aku ingatkan boleh terus mai pasang ja macam streamyx tu. Hehe. 


Setelah sembang sikit2 dengan brader TMPoint tu, dia pun mintak aku locate rumah aku di google street kat PC dia. Mesti nampak tepat gambar rumah dalam tu sebab dia nak detect kawasan tu dah ada coverage unifi atau belum. Dari situ juga dia boleh tau tiang telefon yang berdekatan rumah. 


Unifi DP Box idaman ramai

"Kawasan ni belum ada coverage unifi encik.. Kalau encik mau, boleh buat demand list dulu." Alangkah kecewanya aku saat diberitahu keputusan semakan dalam sistem di TMPoint tu. Melihat aku yang seakan tidak percaya, dia menambah lagi, "... yang terdekat pun Kilang Cement dengan Hotel Four Seasons ja.." 


" Takpalah, kita masuk demand list dulu. Encik isi borang ni.." katanya lagi sambil menghulurkan sekeping kertas kepadaku. 


Demand list ni menunjukkan kesungguhan aku untuk pasang unifi di rumah. Demand list ni juga sebaiknya disertai dengan jiran jiran berdekatan yang mahukan unifi di situ. Bila pihak Unifi nampak ramai yang demand di sesebuah kawasan kejiranan tu, maka makin cepatlah diorang datang pasang infra atau kita panggil port unifi di tiang telefon kat situ. 


Ya, itulah perkara awal yang perlu anda lakukan jika kawasan rumah anda belum masuk unifi coverage. Isi demand list. Sebaiknya, ajak jiran-jiran sekali isi. 


2018 aku isi demand list, 2021 baru dapat infra Unifi berdekatan rumah. Dekat betul, tak sampai 100meter. Alhamdulillah, berakhirlah sebuah penantian nak menikmati internet fiber di rumah sendiri. Kira-kira 4 tahun jugakla menanti. Memang betul limited Unifi ni. 


Macam mana pula nak tau kawasan rumah kita dah ada coverage Unifi ke belum? 


Cara pertama, paling senang, call ofis TMPoint berdekatan atau call nombor 100, minta dia buat semakan, sama ada alamat rumah anda ada Unifi coverage ke tak. 


Cara kedua, minta ejen Unifi tolong check. Kalau belum ada, ejen akan bantu buat demand list untuk anda. Itu pun kalau ejen yang rajin lah. Sebagai balasan, bila dah ada Unifi nanti, anda mendaftarlah bawah ejen tu. So dia akan dapatlah komisen. 


Unifi DP Box dan cop kuning keramat di bawah tiang

Cara ketiga, on wifi di telefon anda. Scan wifi yang ada. Cuba lihat ada tak nama wifi yang berakhir dengan " xxx 5ghz@unifi atau xxxx 2.4ghz@unifi". Kalau ada macam ni, kemungkinan besar kawasan rumah anda tu ada coverage unifi. 


Cara keempat, ni kalau anda rajin sikitla. Perhatikan tiang telefon milik ™ yang paling dekat dengan rumah anda, sekitar 300m radius. Di atas tiang tu, ada tak digantung box lebih kurang saiz spotlight , warna kelabu atau hitam dan ada tulisan nombor dan huruf warna putih? 


Bawah box tu, ada seperti kabel warna hitam kuning bergulung sebesar gelung rotan lebih kurang. Dan di bahagian bawah tiang tu pulak ada ditanda cop kuning yang ada tulisan nombor dan huruf sama seperti box di bahagian atas tiang? 


Jika ada tiang telefon lengkap dengan box, kabel bergulung dan cop kuning macam tu, konfemlah kawasan rumah anda tu ada coverage Unifi. Apalagi, jangan berlengah. Terus register melalui ejen atau terus ke TMPoint untuk daftar Unifi. 


Kenapa tidak boleh berlengah berlengai? Kenapa perlu segera mendaftar Unifi? 


Ini kerana infra (kemudahan) Unifi di sesuatu kawasan adalah sangat terhad buat masa ni (Julai 2021). Belum menyeluruh, belum meluas sebenarnya coverage internet fiber di Malaysia ni, baik Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak. Sebab tu kena berebut. 


Aku difahamkan oleh installer yang datang pasang Unifi di rumah aku tu, satu-satu DP (Distribution Port) Unifi atau box yang bergantung di atas tiang Unifi tu hanya ada 8 port sahaja, untuk 8 tempat saja. Aku pula haritu bernasib baik dapat port last. Port yang ke 8 dah. Begitulah lakunya larisnya Unifi ni. Berebut ooii..! Sampai bergaduh gaduh pun ada kes berebut port ni. Dasyat. 

Unifi mencapai 2 juta customer pada 2021. Mungkin BDR punya pasal. Demand masih tinggi untuk Unifi. Baru dua juta dari penduduk Malaysia yang jumlahnya 30 juta. Jangankan separuh, 10% pun belum mencapai.


Demand tinggi, barang pulak limited. Begitulah jadinya. Entah bila agaknya internet fiber macam Unifi ni dapat dinikmati semua. Khabarnya Unifi sekarang sedang agresif dan proaktif memasang infra di merata tempat. Dan aku rasa ada benarnya kerana kawasan kampung macam rumah aku ni pun dah ada coverage Unifi. 


Paling tidak diingini, coverage Unifi ada, tapi port pula dah penuh. Bila terjadi macam ni, kembali kepada cara awal tadi, masuk nama dan details dalam demand list. Berapa tahun perlu tunggu tak pastilah. Kalau demand list ramai mungkin cepat lah. 


Allo Fiber. TNB punya katanya. Moga masuk Langkawi nanti

Aku ada terbaca di group fb Unifi, katanya kalau port dah penuh, boleh masuk demand list dulu. Sementara tu, kena rajin-rajin check kalau2 user sedia ada berpindah atau unsubscribe Unifi dia, maka akan adalah kekosongan port untuk anda. 


Selain tu, ada juga ejen2 yang power, yang dapat adjust port tambahan atau percepatkan tempoh menunggu ada untuk dapatkan port Unifi. Kena rajin-rajin research, baca komen-komen dan isu-isu berkaitan Unifi di group fb tu. 


Mengapa Unifi? Kenapa tak ambil yang lain?


Sebab utama aku pilih Unifi ialah, emergency…! Hahaha.. Bila dapat tau ja dah tinggal last port yang available kat situ, apalagi, terus aku setuju untuk ambik pakej rm129 dengan kelajuan 100mbps. 


Lepas seminggu dua pasang, barulah aku tau ada banyak pesaing ISP internet fiber ni dari mobile telco macam Maxis, Digi, dan Celcom. Penawaran mereka nampak lebih menarik dari Unifi, antaranya ialah disediakan router jenis wifi6 dan TV LED bersaiz besar melalui pakej ansuran bulanan. 

Maxis menawarkan router Wifi 6 dan harga 300mbps yang agak menarik

Tapi, melalui pembacaan aku di media sosial, rupa-rupanya telco ni hanya menumpang infra milik Unifi ja. Jadinya, segala pemasangan dan kerosakan di luar premis masih lagi perlu melibatkan pihak Unifi. Apa yang tidak sedap didengar ialah bila berlaku masalah talian, kabel dan sebagainya, pelanggan-pelanggan fiber telco ini ada yang dianaktirikan. 


Maksudnya lambat dilayan. Ya lah, dah menumpang kan. Mesti Unifi nak utamakan pelanggan dia dulu. Jadi, memang tak salah a memilih Unifi sebagai ISP internet fiber di rumahku. Lagi pulak, sebagai customer streamyx bertahun lamanya, memang after sales service dari pihak ™ sangat memuaskan. Customer service pun senang dihubungi.

Lepas dah sign up Unifi, baru tau Digi ada plan 50 MBPS. Kalau dak, amek yang ni pun jadi dah.

Cuma sedikit terkilan berkenaan Unifi ni ialah tentang harga pakej yang ditawarkan. Harganya mungkin setara dengan harga pakej yang ditawarkan oleh syarikat telco utama di Malaysia. Tetapi jika dibandingkan dengan pemain baru dalam penyedia internet fiber seperti Time dan Allo City Broadband, kita akan nampak bahawa harga Unifi sedikit mahal.


Time Fiber yang aku guna di Penang. Puas hati beb 500mbps cuma RM139.

Pada Julai 2021, jika dilihat pakej 100mbps antara Unifi, Time dengan Allo, sudah nampak jurang perbezaan harga. Jurang harga bertambah jauh jika dilihat pada pakej 500mbps. Harga bagi Time dan Allo untuk 500mbps cuma rm139 manakala bagi Unifi sudah menjangkau rm278. Jika bukan kerana infra yang terhad untuk Time dan Allo ketika ini (2021), mungkin orang dak tak nampak Unifi. 

Astro juga hadir dengan pakej broadband

Aku rasa terkilan kerana Unifi adalah kendalian Telekom Malaysia, syarikat telekomunikasi nasional dan utama bagi negara Malaysia, sepatutnya menawarkan sesuatu yang istimewa buat rakyat Malaysia. Tiba-tiba syarikat (ISP) seperti Time dan Allo pula yang mesra rakyat harga pakej yang ditawarkan. Please lah Unifi.


AlKisah Pemasangan Unifi


1 JUN 2021

Sesiapa kawasan Langkawi bolehla contact ejen ni. 
Memang cepat buat kerja. terbaik.
Selepas whatsapp agent Unifi (yang aku sendiri pun tak kenal nama dan mukanya), hanya dapat nombor melalui kenalan. Dia mengatakan perlu “ujud alamat” dulu, walaupun aku pasti kawasan rumah aku ni memang dalam kawasan liputan Unifi. Nak tergelak pun ada dengan upacara “ujud alamat” yang diperkatakannya tu.

Setelah berjaya “ujud alamat”, agent tu menghubungi untuk bertanyakan pakej pilihanku. Ketika ni Unifi menawarkan plan Try Me Broadband, iaitu customer boleh try Unifi secara percuma selama 30 hari tanpa dikenakan bayaran dan boleh terminate sekiranya tidak berpuas hati dalam masa 30 hari tu.


Jadinya, aku memuktamadkan untuk ambil pakej 100mbps dengan harga RM129 bulanan. Nak ambil yang 30mbps takut slow sangat pulak. Baik ambil pakej yang laju sikit. At least bila speed drop, takla terasa sangat slow tu.




3 JUN 2021 , 12.25 pm


Aku menerima sms dari nombor 62100 mengatakan permohonanku untuk memasang Unifi berjaya diterima. Tak sangka begitu cepat dan smooth…! 1 Jun ujud alamat, 3 Jun dah approved. alhamdulillah rezeki nak merasa Unifi.


Contoh SMS pertama yang akan diterima apabila permohonan approved

Tak lama kemudian, aku mendapat panggilan dari TMPoint, aku tak pasti HQ atau TMPoint Langkawi. Tujuannya untuk mengenalpasti lokasi rumah dengan tepat. Maksudnya, kita kena bantu pegawai ™ yang menelefon tu untuk kenalpasti kedudukan rumah atau tempat kita nak pasang Unifi melalui google street. 


Sebaiknya, dia buka google street dan kita pun sedang buka juga, supaya dapat arahkan dia untuk ke depan sikit, ke belakang sikit, atau sebutkan angka di atas jalanraya di goole street tu. Ataupun sekurang-kurangnya anda tahu lokasi rumah anda bila dilihat dalam paparan google street tu. Apa landmark yang ada, apa nama jalan, apa nombor jalan mengikut google street dan sebagainya. 


Dari mana aku tahu pegawai ™ tu sedang gunakan google street ? Jawapannya, aku dah pernah lalui proses nak locate rumah atau tempat yang kita nak pasang Unifi tu ketika isi demand list di TMPoint dulu.

Jangan lupa sediakan RM100 dalam masa 10 hari lepas pemasangan. Bayar terus kepada Unifi melalui online atau apps MyUnifi. Jangan bayar RM100 ni kepada installer atau agent.


Lepas setel sesi guide lokasi rumah tu, tak lama kemudian, hari yang sama, aku menerima SMS dari nombor 62100 ni jugak, mengatakan installer akan datang untuk proses pemasangan Unifi pada 7 Jun 2021. Gembira bukan kepalang bila dapat SMS macam tu. Dah gatal jari jemari nak test speed internet 100mbps Unifi. Hehe.


4 JUN 2021


Aku menerima 1 lagi SMS dari nombor 62100 ni, kali ni agak panjang berjela. Memaklumkan order ID, alamat pemasangan, tarikh dan waktu pemasangan serta link untuk ubah waktu appointment pemasangan. Jika anda berasa kurang sesuai dengan tarikh atau waktu pemasangan yang diberi, anda boleh ubah menggunakan link yang diberi. Anda dibenarkan mengubah paling lewat sehari sebelum tarikh awal yang diberikan.

emel dari TM mengatakan pendaftaran berjaya. Juga diberi no telefon landline anda. Alhamdulillah.

5 JUN 2021


SMS dierima lagi dari 62100 memaklumkan nama pemasang Unifi dan nombor handset beliau untuk dihubungi. Bagus juga begini. Boleh contact jika beliau tidak muncul, juga sebagai langkah keselamatan dari scammer yang mungkin menjelma sebagai pemasang Unifi. Ahh, zaman sekarang macam-macam boleh terjadi.


6 JUN 2021


SMS yang sama seperti 4 JUN 2021 diterima lagi. Kali terakhir jika customer mahu mengubah tarikh dan waktu pemasangan Unifi.


7 JUN 2021 


Hari yang ditunggu tunggu pun tiba. Dalam SMS mengatakan installer akan datang memasang Unifi antara jam 9.30 am - 12.30 pm, tapi tunggu punya tunggu, jam 10.00 pagi belum dengar khabar berita.


installer dah sampai bersama segala apparatusnya

Tak lama kemudian, aku mendapat panggilan dari installer. Nombornya tak sama seperti nombor dalam SMS dari TMPoint. Aku mula syak yang bukan-bukan. Almaklumlah sekarang zaman scammer berleluasa. Hehe. Tapi, main dengan tak sabar nak pasang Unifi ni, aku angkat jugalah call dari dia.


Rupanya, installer yang sepatutnya datang memasang Unifi di rumah aku tu sedang ada job di tempat lain, iaitu di Felcra Kok berdekatan simpang Datai Langkawi. Katanya mungkin tengahari sikit nanti baru boleh datang. Takpalah, aku masih positif.


Dia bertanyakan tentang lokasi sebenar rumah aku dan kedudukan tiang yang adanya DP Box Unifi tu. Aku menerangkan serba sedikit. Tidaklah susah mencari rumahku kerana kedudukannya begitu hampir dengan jalanraya utama. Tak perlu masuk ke dalam pun. Untuk memudahkan lagi installer tu, aku keluar mengambil video kedudukan tiang Unifi dan rumah. Puas hati.

Proses splicing kabel fiber yang amatlah fragile dan sensitip.. Bukan semua orang reti buat.

Jam 1.00 pm. Installer masih belum sampai. Aku dah tak sabar dah ni nak test speed. Dalam hati dah mula menyumpah Unifi. Sembanglah antara jam 9.30 pagi hingga 12.00 tengahari konon. Puiii..! Mujurlah aku memang free satu hari. Kalau ada urusan sebelah petangnya, tak ke haru!


Kesudahannya, disangkakan lepas zohor, rupanya lepas Asar baru sampai. Sejam jugakla nak sampai lepas dia whatsapp kata otw. Otw Melayu, begitulah. Hahaha. Aku cuba bersabar memujuk diri. Aku sedikit resah kerana awan mendung sarat berarak di langit kelabu. Hujan bakal turun bila-bila masa menurut firasatku. Kalau hujan lewat petang, delay lagi lah nampaknya. Kalau delay, bimbang pula port terakhir disambar orang. 

Nasiblah pembantu pak cik tu mau menebas pokok yang merimbun melitupi tiang Streamyx lama tu. hehe


Ahh, dari 2018 sampai 2021 tunggu nak dapat Unifi, takkanlah sejam dua tak boleh sabar, kan ?! Di luar sana, belambak lagi orang dahagakan Unifi di tempat diorang. Kita yang sedang menunggu installer datang ni pun dah cukup baik dah. 


Jam 5.00 pm, aku lihat sebuah Vannette bergerak perlahan di bahu jalan. Konfem, installer dah sampai ..! Hatiku dah berbunga-bunga. Tanpa sedar, senyum terukir sendiri di balik mask yang aku pakai. Syukur tak terhingga, musim PKP begini, pemasangan Unifi dapat dijalankan jua walaupun dengan segala mak nenek SOP yang perlu dipatuhi. 


Tak lama kemudian, handset berbunyi nyaring. Rupanya installer tu menelefon dari dalam van bagi memastikan rumah yang betul untuk pemasangan. Van bergerak perlahan masuk ke laman rumah. Selepas memperkenalkan diri lebih kurang, aku menunjukkan kedudukan tiang Unifi yang kukira tak sampai 100 meter dari rumah.

Itu diaaa... Modem dan router.. Modem lifetime warranty, Router 1 year.

Antara tiang Unifi dan rumahku, terdapat satu lagi tiang telefon milik ™, iaitu tiang yang sudah lama terbiar di balik rimbunan pokok. Aku cadangkan dia tarik cable dari tiang yang ada box Unifi tu, pergi ke tiang streamyx depan rumah aku, pastu terus ke bumbung rumah sebelum ditarik masuk ke dalam rumah. 


Pada mulanya, dia seakan kurang bersetuju. Lebih baik tarik dari tiang yang ada Unifi DP Box tu ke tiang di atas tanah jiran (kerana jiranku juga Unifi user), tapi setelah aku menceritakan masalah aku tak ngam dengan jiranku, dia bersetuju untuk minta pembantunya menebas dahan pokok yang merimbun di tiang Streamyx rumahku itu. Lega. 


Tak payah berkalut dengan orang gila sebelah ni. Buatnya dihambat installer tu dengan parang sebab masuk tanah dia, tak ke naya. Walaupun installer tu menerangkan kepadaku berkali-kali bahawa tiang tu milik Telekom Malaysia, dia kena bagi orang lain tumpang sama. Ya, aku ni boleh fahamlah. Tapi tuan tanah sebelah tu adakah dia faham ? Jadi lebih baik pasang di tiang sendiri bagi mengelakkan macam-macam masalah pada masa depan. 


Fasa yang agak sukar. Nak buat laluan kabel fiber dari bumbung ke dalam rumah. Kabel fiber tak boleh dibengkokkan 90 darjah. Hanya boleh digulung.

Setelah selesai bincang tentang laluan kabel fiber tu nak ikut tiang mana, pembantu kepada pakcik installer tu pun menurunkan tangga panjang dan mula menebas sedikit dahan pokok yang melitupi tiang streamyx. Tak sangka tiang Streamyx yang terbiar 6 tahun lalu kini berjasa kembali.


Manakala pakcik installer tu sendiri sedang fokus meyambung kabel fiber menggunakan splicing  machine yang khabarnya mahal nak mampus tu. Proses ni sangat rumit dan kritikal. Memerlukan specialist yang berpengetahuan sahaja untuk melakukannya. Inilah yang membezakan pemasangan kabel fiber optik (Unifi) dengan kabel jenis copper yang digunakan masa zaman Streamyx.


Kebaikan kabel fiber optik untuk Unifi ni ialah ia tidak menjadi buruan pencuri kabel seperti kabel copper zaman Streamyx kerana bahannya hanyalah kaca yang murah, tapi sangat efisyen untuk transmit data. Keburukannya pula, sangat fragile dan memerlukan specialist untuk mengendalikannya, walaupun hanya untuk melakukan kerja kerja mudah seperti mengubah modem dari tempat asal ke lokasi lain, seperti dari ruang tamu, masuk ke bilik tidur. 


Yeayyy... dah siap pasang dua beradik ni dan berfungsi seperti yang diharapkan.

Sebab itulah disarankan kepada yang berminat untuk memasang Unifi, pastikan lokasi untuk letak modem dan router tu betul-betul kerana anda tak boleh sendiri-sendiri ubah ke sana sini lepas installer dah pasang. Tak macam masa pakai streamyx. Tak suka letak di ruang tamu, boleh ubah masuk bilik sesuka hati.


Bolehlah ubah, kita punya kan. Ikut suka la. Cuma, kalau berkasar, kabel fiber hitam yang bergulung tu akan patah. Bila patah, kena panggil technician yang ada alat splicing tu datang sambung. Bukannya boleh sesuka hati sambung pakai selotep. Oh ya, dan khabarnya, kos panggil technician datang sambung kabel fiber yang patah tu boleh mencecah RM 60 sekali panggil. Ya lah, alat splicing yang dia pakai tu bukan harga sekupang dua.


Haha. sambung cerita. Lepas selesai sesi splicing kabel, mereka berdua mula menjalankan kerja-kerja menarik dan mengikat kabel ke tiang. Pak cik installer tu memanjat tiang yang adanya DP Box dan menjalankan kerja-kerja teknikal pada box Unifi tu sebelum kabel fiber hitam ditarik hingga ke tiang streamyx di laman rumahku. 


Aku tidak putus putus berdoa moga port terakhir pada DP Box Unifi tu masih elok dan tidak bermasalah. Banyak cerita-cerita duka di group Unifi berkenaan port yang rosak dalam DP Box dan sebagainya selain dari masalah port penuh. Harap-harap semuanya berjalan lancar lah.


Alhamdulillah, aku sedikit lega apabila melihat DP Box di puncak tiang ditutup dan kabel fiber mula diregang dari tiang utama ke tiang streamyx di laman rumahku, seterusnya kerja-kerja menambat gulungan kabel fiber tu di bumbung rumah, sebelum bermulanya kerja-kerja yang sedikit rumit, iaitu dari bumbung rumah untuk masuk ke dalam rumah. 


Inilah cable fibre optic. Rerambut halus tu ialah kaca yang sangat fragile.

Aku katakan rumit kerana ini perlu dilakukan dengan penuh cermat dan fokus bagi mengelakkan kabel patah. Almaklumlah, dalam tu kaca halus, bukan tembaga. Menyambung kabel dari tiang ke tiang nampak tidaklah terlalu rumit, tapi dari bumbung rumah, nak masuk ke dalam rumah, sedikit rumit kerana perlu melalui lekuk-lekuk pada bumbung dan dinding rumah.


Aku dah plan nak letak modem dan router tu dalam bilik aku sendiri. Bukan di ruang tamu seperti kebiasaan orang buat. Eloklah dengan kedudukan bilik yang letak lebih dekat dengan anjung berbanding rak tv yang letak agak ke dalam di ruang tamu. Lagipun, kebanyakan masa memang dihabiskan di dlam bilik. Bila router dan modem diletak dalam bilik, senanglah nak sambung LAN kabel RJ45 ke PS4 dan PC bagi mendapatkan speed yang lebih laju dan stabil ketika update game dan sebagainya. Nampak tak, lama dah aku plan semua ni.


Setelah selesai kerja-kerja di luar rumah, kini kerja-kerja terakhir dalam bilikku sedang rancak berjalan. Pembantu sedang membuat kerja-kerja laluan kabel dari luar rumah ke dalam rumah, manakala pakcik installer sedang unboxing dan setup modem dan router. 


Untuk pakej RM129 100 mbps ni, aku mendapat modem jenama ZTE warna putih dan router jenama TP Link model archer AC1200 warna hitam. Sedikit kecewa kerana router ni jenis biasa, dual band, tapi bukan jenis terbaru yang support WiFi 6. Cordless phone tidak disediakan walaupun ada termasuk free call to all network selama 600 minit dalam pakej Try Me Broadband ni. Mujurlah ada simpan cordless phone Motorola hitam zaman streamyx dulu. Harap-harap boleh guna lagi lah.



Inilah LAN cable RJ45. Carilah version CAT 7 ke atas.

Selesai meyambung kabel fiber pada modem putih ZTE tu, installer berpesan padaku agar berhati-hati dengan lebihan gulungan kabel fiber optik tu dan modem tu kerana ia boleh patah jika tersalah langkah atau terkasar. Sebaiknya, biarlah kekal di situ saja. Router pula takda masalah, boleh diubah ke mana yang disukai selagi kabel RJ45 yang menghubungkannya dengan modem masih sampai.


Saat yang ditunggu tunggu pun tiba. Sebaik melihat lampu lampu LED kuning kehijauan bernyala pada router dan modem, aku menarik nafas lega. Installer memintaku menulis nama wifi dan password mengikut kehendakku. Lama juga aku berfikir. Ah, belasah ja lah. Lepas ni boleh ubah. Aku pun meletakkan nama “StayHumble4017” sebagai nama wifi. 


Setelah selesai setup di laptopnya, dia memintaku untuk try connect ke wifi. Cuma aku rasakan kurang tepat kerana dia mengatakan wifi 5Ghz untuk iphone sahaja, manakala android kena connect ke wifi 2.4Ghz. Aku pun mengikut katanya dengan connect phone burukku iaitu Huawei Mate 20 Pro kepada wifi 2.4Ghz. 


Setelah test speed dilakukan, sedikit hampa kerana hanya dapat 70-80 mbps. Tapi kalau ikutkan, memang dikira memenuhi syaratlah apabila dapat at least 80% speed yang dijanjikan dalam pakej. Tapi sebagai customer baru, seboleh-bolehnya, aku nak tgok angka 100mbps pada test speed tu. Takpa, malam nanti kita test pakai cable LAN pula. Aku memujuk hati.


Setelah berkemas alatan, pak cik installer tu meminta diri. Katanya nak meninjau lokasi untuk pemasangan esok, iaitu berdekatan roundabout Ayer Hangat. Aku membayar kos pemasangan sebanyak RM 80 seperti yang ditetapkan, walaupun kemudiannya aku mengetahui dari group bahawa pemasangan standard tanpa masuk ke dalam siling rumah adalah percuma. 

1st speed test. Masa ni connect phone ke wifi 2.4ghz. Rasa macam kena scam dengan Unifi dah masa ni.

Tapi sebab excited nak Unifi punya pasal, ah lantaklah..! Janji setel pasang dan boleh guna. Walaupun Telekom malaysia dah bayar mereka, tapi kesian juga aku lihat dia bersusah payah memanjat tangga dan menebas rimbunan pohon yang melitupi tiang streamyx yang lama terbiar tu. Kira halal lah RM80 tu.


Kemudian, aku sekali lagi mencuba speed test. Masih sama. Mana-mana speed test pun lebih kurang sama. Tak boleh jadi ni. Aku cuba pula connect ke wifi 5Ghz. Aikk, boleh ja pun. Apalagi, teruslah buat speed test untuk kesekian kalinya. Kali ni, dengan connect ke wifi 5GHz pula. 


Alangkah bukan kepalang gembira apabila melihat jarum meter speedtest tu berlari kencang ke penghujung meter, melepasi angka 100mbps buat pertama kalinya. Yessss…! Rasa nak melompat pun ada..! Inilah yang aku mahu. Alhamdulillah3x. Allah izinkan segalanya berjalan lancar. Oh ya, proses installation Unifi tu memakan masa 1 jam 45 minit lebih kurang. Tak sampai pun 2 jam.



Kini, proses connect wifi dengan semua gajet yang ada. Juga masa untuk susun atur balik perabot yang aku keluarkan dari bilik sempitku yang berkeluasan 10x10 itu. Fuhh, dah terbayang malam ni main PS4 yang sudah lama tidak update tu sambil tersandar atas kerusi gaming Tomaz yang empuk, dihembus pula angin dingin dari pendingin hawa Mitsubishi. Nikmatnya aduhai.


Dah terbayang dapat menonton Netflix dengan resolution FullHD pada TV rumah menggunakan Mi Stick (nanti aku akan review). Dah takda sangkut-sangkut buffering masa tengok Youtube FHD. Update apps di telefon dan tablet pun dah tak perlu tunggu data free 1gb Digi tengah-tengah malam. 


Boleh update, boleh download bila-bila masa yang disukai. Nak buka video-video viral di Fb pun bukalah tanpa teragak-agak kerana risau makan kuota internet mobile macam sebelum-sebelum ni. Inilah dunia kebebasan berinternet yang aku idam-idamkan selama ni. Tak perlu risaukan quota, tak perlu fikir bab speed. Alhamdulillah3x atas rezekiMu Ya Allah.


REVIEW SETELAH SEBULAN MENGGUNAKAN UNIFI


Hari ni, 6 Julai 2021, maknanya sebulan dah aku menggunakan Unifi. Orang kampung panggil, Unipai. Alhamdulillah, Unifi menunaikan janji untuk payung sebulan free apabila aku melihat detail bil melalui aplikasi MyUnifi, satu apps untuk customer Unifi memantau bil dan membuat pembayaran. Sungguh memudahkan dan mesra pengguna.




Untuk bulan ni, aku hanya membayar RM 23, iaitu kadar prorata. Maknanya setakat ni, aku dah keluarkan RM 123, iaitu RM 100 dalam tempoh 10 hari lepas pemasangan untuk kos pengaktifan akaun Unifi, manakala RM 23 lepas dapat bil kali pertama. 


Untuk bulan kedua, Unifi belanja free sebulan iaitu RM 129. Aku akan kembali membayar untuk bulan ketiga. Apa yang aku faham, konsep bil Unifi ni ialah bayar sebelum guna atau bayar awal. Bukan bayar lepas guna macam TNB. 


Ah, susah juga aku nak faham awal-awal tu. Tapi lepas tengok bil berulang-ulang kali dan baca komen-komen pencerahan dari otai Unifi di group FB, aku mula faham. Apapun, aku dah tak kisah untuk membayar dek kerana kepuasan menikmati internet Unifi yang sangat laju lagi stabil.


Bil setelah sebulan menggunakan Unifi

Selama sebulan pakai ni, aku sangat-sangat berpuas hati dengan speed dan stability Unifi ni. Memang jauh beza la dengan internet mobile Yodoo dan YES4G mahupun Digi yang aku guna selama ni. Berdesup perginya. Sampai dah taktau nak buat apa sebab unlimited quota kan.


Suhu router agak tinggi sebelum pasang kipas
Oh ya, pernah sekali router yang aku pakai tu terpadam sendiri. Router saja, bukan modem. Kukira mungkin terlampau panas. Kini, aku membeli kipas laptop dan letakkan di bawahnya. Aku tak pernah pun off modem dan router ni sebenarnya sejak hari pertama pasang. 


laptop cooling pad jenis murah ja letak bawah router


Ya lah. Nak off buat apa kan. Gunalah sepuasnya. Tapi rupanya ada isu panas pula. Setelah dipasang kipas penyejuk laptop yang murah tu, permukaan atas router dah tak sepanas dulu. Dan kini dah lebih seminggu tanpa off, dengan kipas di bawahnya, router masih berkhidmat cemerlang. Speed pun maintain. Itu yang penting.


suhu turun sikit lepas pasang kipas bawah router

Overall, aku sangat3 berpuas hati dengan pelaburan ni. Pelaburan memasang Unifi. Walaupun berhabis RM 129 sebulan, tapi bak kata orang, biar alah membeli, menang memakai. Setelah dikira-kira, di rumahku ada 3 user, dengan jumlah gajet ialah 16. Setakat  Julai 2021.


1 PS4

1 PC

2 Laptop

3 tablet

6 handset

1 TV

2 CCTV


Walaupun kesemuanya connect internet dalam masa yang sama, tapi masih mampu untuk stream Netflix atau Youtube full HD. Harap-harap berkekalanlah. Mungkin lokasi rumahku di pinggir bandar menyebabkan speed pun smooth ja, tak congested sebab kurang persaingan. Ya lah, kampung kan. Tiang Unifi pun jarang-jarang jauh-jauh. Tak macam di bandar yang ramai penggunanya.

komen komen netizen di luar sana. Betapa ramai yang mampu dan mahukan Unifi, tapi takda coverage.



™ : Begitulah al-Kisah aku dan Unifi. Entah berapa lama aku akan bertahan dengan Unifi. Mungkin suatu masa nanti, jika ada pesaing ISP Fiber selain Unifi masuk sini dengan tawaran tawaran menarik, mungkin kita boleh try yang tu pulak. Apapun, buat masa ni, masa kita semua StayAtHome entah sampai bila ni, Unifi adalah terbaik di sini, di Langkawi.