Sunday, April 15, 2012

Jam Dinding


Sama ada cerita ini benar ataupun palsu, tidak dapat dipastikan. Yang jelasnya, cerita ini hanyalah sekadar sebuah satira. Pada suatu hari, ketua kampung orang asli suku Temiar yang bernama Batin Pungut telah dihadiahkan sebuah jam dinding oleh pihak tentera kerana menolong mereka dalam satu operasi menghapuskan komunis.
          Alangkah bangganya Batin Pungut bila jam itu digantungkan di hadapan pintu rumahnya dan orang kampung sering datang melihat jam tersebut seolah-olah barang hiasan kerana pada masa itu mereka tidak tahu lagi bagaimana hendak menggunakan jam. Mereka juga tidak tahu bagaimana hendak menentukan waktu.
          Pada suatu hari, anak Batin Pungut yang bernama Tunggul telah memberitahunya yang jarum jam tersebut telah berhenti bergerak. Masa itu ramailah anak buah Batin Pungut sedang berada di halaman rumah. Mereka datang kerana hendak melihat jam tersebut. Masing-masing kehampaan kerana jarum jam itu tidak lagi bergerak seperti selalu.
          “Kenapa dengan jarum jam tu, Tok?” tanya salah seorang anak buahnya yang ingin tahu.
          “Entah, aku pun tak tahu!” ujar Batin Pungut. “Semalam jalan elok ja, tapi hari ni dah tak jalan pula.”
          “Dah rosak agaknya, Tok!” ujar seorang lagi anak buah Batin Pungut.
          “Biar aku periksa dulu,” balas Batin Pungut.
Batin Pungut pun segera menurunkan jam tersebut dari tempat penggantungan dan membelek-belek jam itu hadapan dan belakang. Tiba-tiba dia ternampak tempat bateri jam tersebut. Kuis punya kuis tidak semena-mena bateri itu terpelanting keluar dari tempatnya. Entah macam mana matanya terlihat seekor lipas telah mati tersepit di situ. Dengan senyum yang lebar, dia pun berkata, “Sekarang baru aku tahu kenapa jam ini tidak jalan,”
          “Ha, kenapa Tok?” tanya anak buahnya sungguh-sungguh ingin tahu.
          “Ni Haa.. pemandunya dah mati tersepit di celah tempat ni!” ujar batin Pungut sambil menunjukkan bangkai lipas tersebut kepada anak-anak buahnya.

No comments:

Post a Comment