Monday, April 30, 2012

Isabella - Muhammad Saeed Dehlvi


Isabella- sebuah novel kisah benar teologi khilafah Islam atau sebuah kisah sejarah yang dinovelkan. Aku mula mencari-cari novel ni di pasaran selepas lecturer aku pernah menceritakan tentangnya suatu ketika dulu. Akhirnya, pada suatu petang yang damai, aku bertemu dengan novel ni, satu-satunya yang masih tinggal di Kedai Buku Iqra’ yang terletak di Pasaraya Hafifah, Kangar. Awalnya, aku menyangkakan novel ni versi Bahasa Indonesia, so, aku minta seller tu koyakkan plastiknya untuk kepastian. Alhamdulillah, novel hebat ni telah dialih ke Bahasa Malaysia.
Novel ni agak nipis dan aku telah menghabiskannya dalam masa kurang dari seminggu. Tema utama novel ni ialah berkisarkan perbandingan agama antara Kristian dan Islam. Konsep sebegini jika dilihat sebenarnya sudah banyak buku-buku di pasaran yang mengetengahkannya. Namun, kebanyakannya adalah buku-buku yang padat dengan fakta dan dikategorikan sebagai “bacaan berat.” Jadi, novel Isabella adalah berbeza kerana mendukung tema yang serupa namun dalam bentuk penceritaan, apatah lagi ianya sebuah kisah benar klasik. Sebenarnya, tidak banyak novel Berbahasa Melayu yang mendokong tema sebegini dan aku mengharapkan kehadiran lebih banyak novel yang macam ni pada masa depan.
            Penulisnya iaitu Maulana Muhammad Saeed Dehlvi telah menulis novel ini dalam Bahasa Urdu, yang kemudiannya diterjemah ke dalam bahasa-bahasa lain, termasuklah edisi Bahasa Melayu ni. Mengisahkan anak ketua paderi di Cordova, Sepanyol yang bernama Isabella, yang pada mulanya seorang yang tekun mendalami Kristian, namun setelah bertemu dengan seorang ilmuan Islam bernama Umar Lahmi secara tidak sengaja, dan terdengar Umar Lahmi mengkritik ajaran Kristian yang menekankan konsep Triniti, terus mengheret Isabella untuk memikirkan hal ini. Pertemuan dan dialog yang diatur Isabella antara Umar Lahmi dengan pihak gereja bagi membicarakan persoalan keraguan Umar Lahmi terhadap konsep agama Kristian, telah membuka minda Isabella dan dia mulai meragui agama Kristian yang ditaatinya selama ini. Sinar hidayah yang mula memancar membuatkan Isabella beserta beberapa orang rakannya mula tertarik untuk mendalami Islam dan akhirnya mereka telah bersyahadah secara rela. Sebagai anak ketua paderi terkemuka, tentunya Isabella tidak terlepas dari menghadapi cabaran dan serangan yang dasyat dari pihak Kristian yang mengecam tindakannya memilih Islam sebagai jalan hidup. Namun segala rintangan ini bukan melemahkan, malah mengukuhkan kecintaan Isabella terhadap Islam hingga beliau terkenal sebagai srikandi Islam yang hebat di zamannya.
          Seperkara lagi yang menarik, ialah novel ini sebenarnya mendedahkan jawapan-jawapan kepada keraguan yang seringkali ditimbulkan paderi Kristian terhadap Islam dan sebagai seorang Islam, kita seharusnya mengetahui perkara-perkara asas ini. Bayangkanlah jika kita disoal dengan soalan-soalan provokasi tentang Islam ini dengan tiba-tiba oleh seorang kafir?..takkan hendak diam saja? Sekurang-kurangnya kita perlu sediakan jawapan asas bagi mempertahankan Islam..

TM : Hati itu ALLAH yang pegang. Berusahalah mencari hidayah-NYA. Kisah yang hebat dan bermotivasi. Kalau ada masa, tak rugi baca. 

No comments:

Post a Comment