Thursday, May 31, 2012

Bumi Cinta - Habiburrahman el Shirazy


Karya-karya Habiburrahman el Shirazy sememangnya tak pernah mengecewakan. Setiap kali beliau mengeluarkan karya-karyanya yang terbaru, ia umpama peledak yang memberikan impak hebat kepada sekelilingnya..! Sebut saja karya-karya agung seperti Ayat-ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, dan Dalam Mihrab Cinta..pasti peminat dunia penulisan akan mudah mengecamnya. Kehebatan karya Habiburrahman el Shirazy ini terserlah apabila hampir kesemua karya penulisannya difilemkan serta dialih bahasa. Bagi aku, Habiburrahman el Shirazy merupakan tokoh dalam bidang penulisan karya-karya bernada Islamik dan berunsurkan pembangunan jiwa yang patut dibanggakan.
Novel terbaru beliau ini, Bumi Cinta (walaupun taklah baru sangat) telah dua kali aku khatamkan. Kali pertama meminjam dari seorang rakan beberapa tahun lepas, dan aku sanggup memilikinya sendiri baru-baru ini menggunakan baucar buku 1 Malaysia. Hehe.. Menceritakan seorang pemuda muslim bernama Ayyas, yang bermusafir ke Kota Moskow, Russia kerana menyelesaikan tugasan dalam bidang akademiknya di sana. Apa yang cuba ditekankan dalam Bumi Cinta ini ialah, bagaimana seorang anak muda muslim menghadapi cabaran dalam menuntut ilmu. Cabaran yang dimaksudkan di sini ialah suasana yang dihadapi apabila menuntut ilmu di sebuah tempat yang menjunjung tinggi sosial dan kebebasan iaitu Rusia.
                Awal-awal lagi Ayyas telah diuji apabila terpaksa berkongsi apartment dengan dua gadis jelita Rusia yang juga watak-watak utama novel ini iaitu Yelena dan Linor. Tinggal serumah dan berkongsi ruang seperti ruang tamu dengan wanita asing tentulah sesuatu yang bukan mudah dan menjengkelkan bagi orang yang belum pernah mengalaminya seperti Ayyas. Penceritaan tambah menarik apabila Ayyas telah dipertemukan dengan pembimbingnya iaitu Anastasia Palazzo, seorang professor muda jelita yang bagi aku cukup pakejnya.. Terfikir juga di benakku kalaulah aku di tempat Ayyas, sudah tentu aku akan bersungguh-sungguh mendekati Anastasia untuk dijadikan isteri. Apatah lagi dalam cerita ini, Anastasia digambarkan turut menaruh hati kepada Ayyas dalam diam-diam.
            Jalan cerita yang baik harus mempunyai konflik-konflik yang dapat mengheret minat pembaca untuk meneruskan pembacaan. Begitu juga dengan Bumi Cinta ini. Aku lebih berminat dengan konflik berkenaan watak Linor yang sebenarnya seorang agen Mossad yang berselindung di sebalik kerjaya pemain biola. Linor juga hampir menghumbankan Ayyas ke dalam penjara apabila merancang pengeboman di sebuah hotel dan Ayyas disasarkan sebagai pengebomnya. Namun, kuasa Allah telah menafikan hal itu dari menimpa hambanya yang dikasihi (Ayyas). Hal ini juga memberi gambaran kejahatan Yahudi yang selalu mereka-reka agenda demi menjuruskan perhatian dunia agar memendang orang Islam sebagai terrorist.
            Konflik lain yang tak kurang menariknya ialah konflik Yelena dan kumpulan Mafia Moskow di mana Yelena hampir dibunuh namun telah diselamatkan oleh Ayyas. Unsur-unsur romantic dan cinta yang tidak keterlaluan juga menjadi pelengkap novel hebat ini. Kesudahan jalan cerita juga menarik di mana kedua-dua wanita iaitu Yelena pada asalnya seorang atheist dan Linor-seorang Yahudi tegar akhirnya memeluk Islam setelah terjadi beberapa peristiwa dalam hidup mereka. Kehadiran Ayyas dalam hidup mereka dianggap membawa rahmat walaupun pada awalnya dibimbangi Ayyas yang akan hanyut dibawa arus “kebebasan” kota Moskow.

TM : Antara perkara yang boleh dipertingkatkan ialah penceritaan tentang watak Anastasia yang kelihatan hilang sama sekali di penghujung cerita, di mana watak ini mendominasi pada awal jalan cerita. Begitu juga dengan penutup yang seolah tergantung..mungkin ada sambungan lepas ni.. siapa tahu?! 

No comments:

Post a Comment