1. Masyarakat Yunani menyambutnya bagi
meraikan Dewi Kesuburan, Rhea, isteri kepada Cronus yang juga ibu kepada
dewa-dewa lain dalam mitologi Yunani. Mereka meraikannya pada setiap tahun pada
musim luruh. Ini sambutan Hari Ibu yang terawal dalam rekod sejarah.
2. Masyarakat Rom yang mengikuti Dewi
Cybele ada sambutan pada setiap 15 Mac. Sambutannya terlalu meriah sehingga
dikatakan, pengikut Dewi Cybele akan dibuang negeri atas sebab menimbulkan
masalah dan mengganggu masyarakat.
3. Penganut Kristian pada awalnya menyambut
Hari Ibu bagi memperingati Virgin Mary pada setiap Laetare Sunday. Saya belum
menemui fakta yang menunjukkan ia adalah satu syariat dalam Kristian. Bahkan,
ia kemungkinan besar adalah bi'dah hasanah dalam Kristian yang tidak
bersumberkan ajaran asal Kristian.
4. Tarikh sambutannya berbeza di seluruh
dunia. Setahu saya, tarikh 'rasmi' 10 Mei yang disambut sebagai Hari Ibu ini
adalah usaha Anna Jarvis sempena memperingati ibunya yang kemudiannya
mengasaskan Mother's Day International Association. Maka, menetapkan Hari Ibu
sebagai 'Hari Mother of The Church', 'perayaan Kristian', 'melarikan akidah'
adalah kurang sesuai.
5. Saya tidak ada masalah dengan sambutan
Hari Ibu atau Hari Bapa. Keduanya tidak menafikan perayaan sebenar yang
disyariatkan bagi umat Islam iaitu 'Idul Fitri dan 'Idul Adha. Renungan yang
baik dalam Surah al-Isra' ayat 23-25. Saya melihat, Hari Ibu kini cuma perayaan
yang menjadi adat kebiasaan yang sudah jauh daripada unsur agama dan tidak ada
masalah menyambutnya. Ia tidak menimbulkan masalah akidah.
6. Asalkan bukan niat meniru perayaan
keagamaan di atas, tidak menghadkan tarikh ini sahaja untuk meraikan ibu dan
menganggap ia sebagai tambahan sahaja, maka tidak ada masalah menyambutnya. Ini
sebagaimana pandangan Sheikh Faysal Mawlawi. Sheikh Yusuf al-Qaradhawi
mengemukakan solusi yang baik dan keluar daripada khilaf ini. Katanya, lebih
wajar meraikan ibu pada dua hari raya yang disyariatkan dalam Islam ('Idul
Fitri dan 'Idul Adha) kalau mahu adakan sambutan untuk mereka. Namun, jika
hanya meraikan ibu pada dua hari berkenaan sedangkan pada hari-hari lain dalam
setahun, mereka seakan tidak dipedulikan, ia sangat tidak wajar.
7. Bagi yang hendak menyambutnya, silakan.
Namun patuhi syarat-syarat yang dikemukakan di atas. Bagi yang tidak mahu
menyambutnya, silakan. Tidak perlu mencemuh keterlaluan kerana saya lihat pada
hari ini, hampir tidak ada hari yang tidak ada cemuhan sesama Muslim.
8. Cukuplah diulang-ulang isu sambutan ini.
Masyarakat Muslim Malaysia perlu pergi jauh kehadapan daripada disibukkan
dengan hal-hal kecil seperti ini. Ia hanya akan memecahbelahkan lagi perpaduan
umat Islam. Hidup ini bukan hanya berputar sekitar hukum-hakam sahaja bahkan
lebih jauh, kita sebenarnya kekeringan 'hikmah'.
9. Kisah menarik yang ingin saya kongsikan
berkenaan Imam Malik dan ibunya. Semasa kecil, Imam Malik sentiasa dipesan oleh
ibunya untuk mempelajari adab daripada gurunya sebelum diambil ilmu gurunya
itu. Itulah pesanan ibunya setiap kali menghantarnya belajar. Imam Malik juga
dipakaikan serban besar serta jubah labuh yang besar yang menjadi pakaian rasmi
para ulama'. Tujuannya supayah Imam Malik lebih bersemangat untuk belajar
sehingga mencontohi ulama' pada zamannya bukan sahaja dari segi akhlak bahkan
pakaian. Lihat, betapa halusnya motivasi yang disematkan oleh ibu Imam Malik
kepada anaknya hingga Imam Malik menjadi seorang ulama' mujthad mutlak yang
hebat.
Hanya bermula dengan pakaian dan nasihat.
Itulah kuasa seorang ibu.
*** Ini pandangan SS Mufti Wilayah Persekutuan,
Datuk Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkenaan Hari Ibu.
No comments:
Post a Comment